Imej sesuatu produk merupakan aspek yang sangat penting yang perlu anda fikirkan apabila cuba untuk memujuk bakal pembeli untuk membeli produk anda.
Tahukah anda bahawa 80 peratus pelanggan anda akan lebih mudah mengingati produk anda dengan cara melihat gambar produk berbanding hanya 20 peratus daripada apa yang mereka baca? Kuasa imej adalah sukar untuk diabaikan, dan jika anda gagal untuk meletakkan imej yang menarik maka anda berpotensi untuk kehilangan prospek jualan yang tinggi.
Hakikatnya, lebih menarik imej anda kelihatan, lebih banyak anda akan menjual.
4 Perkara penting untuk difikirkan apabila merancang untuk mengambil gambar produk anda
- Pilih jumlah set imej yang sesuai
Perkara pertama yang anda perlu fikirkan apabila merancang fotografi produk anda adalah berapa banyak imej yang anda perlukan untuk dipaparkan secara online. Jika anda merujuk di laman web seperti eBay atau Amazon, anda akan dapati bahawa mereka memberi pengguna pilihan untuk menghantar banyak gambar produk. Ini akan banyak membantu bakal pelanggan mendapat gambaran visual terperinci apa yang mereka inginkan sebelum membuat pembelian.
Sekiranya anda mempunyai lebih daripada satu produk, tentunya anda tidak mahu menyemakkan laman web anda dengan begitu banyak imej, namun adalah penting untuk menyimpan jumlah imej yang konsisten untuk setiap produk. Sebagai peraturan umum, sebaiknya tiga buah imej untuk setiap produk adalah memadai.
- Jadikan imej untuk mengetengahkan faedah sesuatu produk
Selain daripada memaparkan imej produk, cuba berfikir di luar kotak dengan menggunakan imej yang ada untuk mempamerkan manfaat sesuatu produk. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin menunjukkan betapa nipisnya sesebuah tablet atau smartphone mungkin anda boleh meletakkan sebatang pensil disebelahnya bagi menyerlahkan ciri-ciri nipis tablet berkenaan.
Anda juga boleh mempertimbangkan untuk memaparkan kelebihan penggunaan produk melalui imej seseorang sedang menggunakan produk berkenaan secara nyata. Ini adalah satu pendekatan berkesan yang digunakan oleh banyak jenama besar di pasaran. Ia mampu mewujudkan emosi pelanggan dengan mudah dan bagaimana ia mampu memberikan menafaat dalam kehidupan harian mereka.
- Tonjolkan warna dan gaya produk
Adakah produk anda datang dalam warna, atau gaya yang berbeza? Misalnya anda menjual pakaian yang mempunyai warna dan corak yang berbeza. Jangan hanya mengambil satu gambar produk dengan warna yang paling popular. Pastikan anda memaparkan produk anda dengan pelbagai warna dan gaya kerana ia mampu memberi kesan ke atas jualan anda memandangkan tidak semua orang mempunyai kehendak dan citarasa yang sama.
- Bina imej yang paling menarik
Ini merupakan perkara yang paling penting untuk dipertimbangkan. Semakin menarik produk anda dilihat, semakin besar kemungkinan untuk anda mendapatkan jualan. Terdapat pelbagai cara yang boleh anda lakukan, untuk membuat produk anda kelihatan menarik seperti berikut
- Mendapat pencahayaan yang sekata
- Bereksperimen dengan kamera anda untuk mendapatkan hasil yang terbaik
- Pastikan kamera anda stabil
- Luangkankan masa mengedit gambar menggunakan perisian yang sesuai
- Fikirkan tentang latar belakang (background) yang anda inginkan
- Gunakan kaedah penyebaran (diffusion) yang berbeza
- Mendapatkan sudut yang terbaik untuk mengambil gambar produk anda
Kesimpulan
Imej produk anda adalah penting. Malah, ia begitu penting sehingga ia boleh memberi kesan samada anda mampu mendapatkan jualan atau akan kehilangan banyak pelanggan berpotensi. Percayalah bahawa imej produk mampu menarik perhatian pelanggan anda berbanding dengan barisan ayat yang anda berikan. Maka dengan itu, pastikan imej produk anda kelihatan hebat di mata mereka.
Artikel ini diterjemahkan dan dipetik sebahagiannya daripada laman web Spark Pay untuk panduan anda.